Pekeliling Nombor 85/20: Garis Panduan Pengendalian Kes-Kes Yayasan Bantuan Guaman Bagi Reman, Bail, Mitigasi Dan Fail-Fail Kes

Peguam-Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan,

Bagi memastikan pengendalian kes-kes Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan [YBGK] dapat dijalankan dengan baik dan efektif, bersama-sama ini dilampirkan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh para peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan :

a) Jadual Reman

i) Sila patuhi SEPENUHNYA jadual reman seperti yang ditetapkan.

Sekiranya mempunyai sebarang masalah berkaitan jadual tersebut terutama yang memerlukan pertukaran jadual dibuat, sila maklumkan kepada pihak YBGK selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh kes bagi tujuan YBGK mendapatkan peguam pengganti.

b) Pengambilan fail-fail YBGK

i) Peguam-peguam hendaklah memastikan setiap tarikh baru untuk kes berkaitan sentiasa dikemaskini.

ii) Sekiranya peguam mempunyai kes lain pada tarikh yang sama, sila aturkan peguam YBGK lain untuk menyebut bagi pihak.

Sekiranya tiada peguam yang boleh menyebut bagi pihak, sila maklum kepada pihak YBGK selewat-lewatnya sehari sebelum kes tersebut.

iii) Sekiranya peguam yang dilantik tidak dapat meneruskan kes, fail kes hendaklah dikembalikan kepada pihak YBGK secepat mungkin bagi memudahkan urusan lantikan peguam baru.

c) Tuntutan / Claim

i) Sila patuhi garis panduan dan kadar bayaran yang ditetapkan oleh pihak YBGK sebelum ini bagi memudahkan pihak YBGK menyemak tuntutan.

ii) Gunakan kertas bersih untuk membuat tuntutan. Kertas yang telah digunakan (draft paper) tidak dibenarkan.

iii) Kesemua bil dan resit untuk tuntutan hendaklah diatur dan ditampal serta dilampir bersama dengan borang tuntutan.

d) Tuntutan bayaran

i) Tuntutan Bayaran fotostat yang dibenarkan adalah RM0.20 untuk 1 salinan jika dibuat di pejabat masing-masing. Sekiranya Photostat di luar adalah mengikut kadar bayaran yang dikenakan oleh kedai yang berkenaan.

ii) Tuntutan perjalanan adalah mengikut peta yang disertakan dan tidak perlu dibundarkan jumlah tersebut.

iii) Tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kes selesai

Sekiranya tempoh tersebut telah tamat, satu surat penjelasan hendaklah disertakan bagi pihak YBGK mempertimbangkan tuntutan tersebut.

Sekiranya pihak tuan mempunyai sebarang pertanyaan sila hubungi pejabat YBGK yang berkenaan.

Sekian terima kasih.

Hajjah NorFaizah Binti Hj Zainudin

Pengerusi

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Johor.

Print Friendly, PDF & Email