Judgement P. Suppiah v. S. Balarajah & 13 Others

STOP PRESS : Judgement P. Suppiah v. S. Balarajah & 13 Others OS No: 24M-214-2010

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU

SAMAN PEMULA NO: 24M-214-2010

 

 

ANTARA

 

 

P. SUPPIAH                                                                                                                                                     PLAINTIF

 

DAN

 

S. BALARAJAH DAN 13 YANG LAIN                                                                                                    DEFENDAN-

                                                                                                                                                                                DEFENDAN

 

 

ALASAN PENGHAKIMAN

 

Pendahuluan

 

(1)           Perkara yang menjadi penentuan di hadapan saya ialah terhadap tiga permohonan yang difailkan oleh Defendan-defendan seperti berikut:

 

a.       Kandungan (10) – permohonan yang difailkan oleh Defendan ke-11 dan 12 untuk membatalkan Tuntutan/Saman Pemula Plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, 1980, atau di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b), (d) dan/atau Aturan 92 Kaedah 4.

 

b.       Kandungan (12) – permohonan yang difailkan oleh Defendan ke-13 dan 14 untuk membatalkan Tuntutan/Saman Pemula Plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, 1980, atau di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b), (d) dan/atau Aturan 92 Kaedah 4.

 

c.        Kandungan (14) – permohonan yang difailkan oleh Defendan ke-2 hingga 10 untuk membatalkan tuntutan/Saman Pemula Plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a), KKMT, 1980 atau di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b), (d) dan/atau Aturan 92 Kaedah 4.

 

[2]           Permohonan yang terdapat di kandungan (10), disokong oleh afidavit yang diikrarkan oleh Hisyam bin Abdullah @ Teh Poh Teik bertarikh 24 Disember 2010 [kandungan (11)].

 

[3]           Permohonan yang terdapat di kandungan (12), disokong oleh afidavit yang diikrarkan oleh Norman Joseph Fernandez bertarikh 24 Disember 2010 [kandungan (13)].

 

[4]           Permohonan yang terdapat di kandungan (14), disokong oleh affidavit yang diikrarkan oleh R. Jayabalan bertarikh 27 December 2010 [kandungan (15)].

 

[5]           Terhadap ketiga-tiga permohonan yang difailkan oleh pihak Defendan-defendan ini, pihak Plaintif telah memfailkan suatu afidavit jawapan yang terdapat di kandungan (17) bagi membantah terhadap ketiga-tiga permohonan tersebut.

 

[6]           Di samping itu pihak Defendan ke-2 hingga ke-10 telah memfailkan afidavit kedua mereka [kandungan (18)]. Manakala pihak Defendan ke-13 dan 14 pula, juga telah memfailkan afidavit kedua mereka. [Kandungan (19)].

 

Latar Belakang Kes

 

[7]           Plaintif dahulunya adalah merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Peguam Negeri Johor, tetapi telah dipecat dari menjawat jawatan tersebut melalui satu EGM yang diadakan pada 26 November 2010 Plaintif kini memohon melalui Kandungan (3) untuk satu perintah bahawa pemecatannya, Ahli Jawatankuasanya serta Setiausaha adalah tidal sah.

 

[8]           Defendan-defendan pula telah memfailkan permohonan mereka masing-masing untuk membatalkan Saman Pemula yang telah difailkan oleh Plaintif [kandungan (10), (12) dan (14)].

 

Ringkasan Kes Plaintif

 

[9]           Plaintif mengatakan bahawa terdapat dua usul yang dicadangkan oleh Defendan ke-11 dan ke-13 yang mana di antara isi kandungannya adalah untuk memecat Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa yang lain serta untuk mengadakan EGM pada 26 November 2010. Akan tetapi usul-usul tersebut telah ditolak oleh Jawatankuasa Peguam Negeri

 

[10]         Walau pun kedua-dua usul tersebut telah ditolak, satu EGM tetap juga dijalankan yang mana di dalam EGM tersebut resolusi-resolusi pemecatan Plaintif dan Ahli Jawatankuasa yang lain telah diluluskan.

 

[11]         Seterusnya, pada 30 November 2010, Defendan 1, 2, 3, 8, 9 dan 10 dikatakan telah memasuki pejabat Jawatankuasa Peguam Negeri dan mengambilalih kawalan fizikal ke atasnya.

 

[12]         Seterusnya Plaintif mengatakan bahawa pemecatannya adalah tidak sah kerana:

 

a.       Kedua-dua usul tersebut telah tidak diserahkan kepada kesemua 1450 ahli-ahli Badan Peguam Johor dan tarikh EGM pula telah tidak dimaklumkan kepada kesemua ahli.

 

b.       Notis ‘Motion of No Confident’ telah gagal dinyatakan secara spesifik dalam usul-usul tersebut.

 

Ringkasan Kes Defendan

 

[13]         Defendan-defendan mengatakan bahawa alasan Jawatankuasa Peguam Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Plaintif menolak usul-usul yang dikemukakan adalah tidak dapat diterima oleh perekuisisi. Defendan-defendan mengatakan bahawa, Seksyen 70A (3) Akta Profession Undang-Undang, 1976 memperuntukkan bahawa apabila sesuatu rekuisisi untuk EGM dikemukakan oleh sejumlah ahli yang mencukupi, maka Jawatankuasa Peguam Negeri hendaklah mengadakan EGM dalam masa 30 hari dari tarikh serahan.

 

[14]         Oleh itu, kegagalan Jawatankuasa Peguam Negeri Johor yang di Pengerusikan oleh Plaintif dikatakan merupakan satu kegagalan ‘mandatory’. Di atas alasan tersebut, perekuisisi sendiri yang telah memanggil EGM tersebut.

 

[15]         Defendan-defendan juga mengatakan bahawa pemecatan plaintif dan Ahli Jawatankuasanya adalah sah berdasarkan kepada:

 

a.       Notis untuk EGM bertarikh 10 November 2010 dan 23 November 2010 telah dikeluarkan kepada ahli-ahli dengan bantuan Majlis Peguam.

 

b.       Usul-usul untuk memecat Plaintif dan Ahli Jawatankuasanya telah dibahaskan dan telah diluluskan melalui undian.

 

c.        Perlantikan defendan pertama sebagai Pengerusi telah dijalankan dengan sah di mana pada asalnya Encik Jayakumar juga telah dicalonkan sebagai Pengerusi tetapi telah menarik diri. Oleh itu, defendan pertama telah dipilih sebagai Pengerusi tanpa pertandingan.

 

d.       Majlis Peguam juga telah menghantar 2 wakil sebagai pemerhati ke EGM tersebut. Majlis Peguam juga telah menghantar surat mengiktiraf defendan pertama sebagai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa barunya.

 

Kandungan (10), (12) dan (14)

 

Ringkasan Kes Defendan

 

[16]         Defendan mengatakan memandangkan EGM yang diadakan adalah sah, maka pemencatan Plaintif dan Ahli Jawatankuasanya juga adalah sah.

 

[17]         Defendan-defendan mengatakan bahawa plaintif tidak mempunyai kausa tindakan terhadap defendan-defendan secara peribadi kerana usul tersebut telah diluluskan oleh Dewan.

 

Ringkasan Kes Plaintif

 

[18]         Plaintif mengulangi penyataannya bahawa pemecatannya adalah tidak sah dan Plaintif berhak untuk menamakan defendan-defendan di dalam prosiding ini.

 

Kedudukan Kandungan (1), (12) dan (14)

 

[19]         Prinsip yang diputuskan di dalam kes Raja Zainal Abidin bin Raja Tachik & Ors. v. British American Life & General Insurance [1993] 2 SCR 650 wajar diteliti kerana prinsipnya sesuai diterimapakai di dalam kes- kes sebegini keadaanya, bila mana diputuskan:

 

”For any court to dismiss an action summarily under Order 18 Rule 19, there ought, in all probability. have been an absence of conflict material evidence or of conflict of affidavits on material point, so that seemingly triable issues, seemingly difficult ones could be readily decided in such a way as to lead to the conclusion that the action was bound to fail.”

 

[20]         Di dalam kes Sim Kie Chon v. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, 386 pula diputuskan bahawa:

 

”The principle governing the striking out of pleadings is clear in that it is only in plain and obvious cases that recourse should be had to the summary process under Order 18 Rule 19 of the RHC, 1980:

 

”the summary procedure under this Rule can only be adopted when it can clearly be seen that a claim or answer is on the face of it ‘obviously unsustainable’. (Attorney General of Duchy of Lancaster v. L & NW Railway Co. [1892] 3 Ch 274 (Supreme Court Practice 1985).”

 

[21]         Permohonan oleh kesemua Defendan ini diketiga-tiga kandungan telah diteliti dengan sepenuhnya. Isi kandungan setiap afidavit yang menyokong dan afidavit tambahan serta juga afidavit yang menentang turut diberikan perhatian.                     Juga eksibit yang dilampirkan turut diberikan penekanan.                        Otoriti kes yang dirujuk, turut diberikan pertimbangan. Setelah menimbangkan Penghujahan yang disampaikan, adalah dengan ini diputuskan bahawa permohonan yang difailkan oleh Defendandefendan di Kandungan (10), (12) dan (14) ini adalah dengan ini diizinkan. Ia diizinkan dengan kos. Saman Pemula yang difailkan oleh pihak Plaintif melalui Saman Pemula No: 24M-214-2010 dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a), (b) dan (d) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, 1980. Permohonan Defendan-defendan diizinkan dengan kos.

 

[22]         Alasan-alasan bagi keputusan tersebut dicapai adalah seperti berikut:

 

a.       Tuntutan Plaintif di sini adalah sesuatu yang dianggap sebagai ‘plain and obviously unsustainable’ yang mana ‘nature’ tuntutannya boleh ditentukan hanya melalui pliding sahaja.

 

b.       Tidak terdapatnya apa-apa isu berbalah berjaya dibangkitkan oleh pihak Plaintif yang mana mewajarkan penentuannya perlu ditentukan melalui prosiding selanjutnya.

 

c.        Tidak wujud suatu ’cause of action’ yang sah di pihak Plaintif di sini seperti mana yang didefinasikan melalui kes Government of Malaysia v. Lim Kit Siang [1998] 2 MLJ 12 bila mana dinyatakan:

 

”a cause of action to mean a factual situation, the existence of which entitles one person to obtain from the court a remedy against another person.”

 

Perkara ’cause of action’ adalah ‘vital’ untuk ditentukan di dalam apa jua keadaan sekalipun, kerana ia bukan sahaja dapat menentukan sesuatu asas tindakan, malah ia berselari di dalam penentuan isu ‘Iocus standi’ sesuatu pihak.

 

d.       Isi kandungan afidavit yang difailkan oleh Defendan-defendan jelas memperlihatkan akan wujudnya fakta-fakta yang dipertikaikan [Rujuk kepada kandungan (11), (13), (15), (18) dan (19)].

 

e.        Tuntutan Plaintif di sini adalah merupakan sesuatu yang mewajarkan yang ianya boleh ditentukan tanya melalui ”Summary Procedure”.               Ia adalah sesuatu yang dianggap ‘plain and obvious’.

 

f.        Tindakan Plaintif menamakan Defendan-defendan di sini adalah tidak tepat (improperly) dan tidak perlu (unnecessarily), malah ia mendatangkan kesusahan kepada Defendandefendan (unnecessary inconvenience).              Tiada relif yang spesifik dipohon dan dinyatakan terhadap Defendan-defendan.

 

g.        Usul tersebut telah dibincangkan serta diluluskan oleh Dewan melalui EGM, dan bukannya oleh Defendan-defendan yang dinamakan.  Apa yang dipohon oleh Plaintif adalah terhadap keesahan ‘EGM’ yang dikatakan ‘ultra-virus’ Legal Profession Act, 1976.     Oleh itu, kesemua Defendan di sini bukanlah merupakan pihak yang ‘proper’ untuk dinamakan Pihak Majlis Peguam adalah pihak yang selayaknya dinamakan sebagai Defendan.

 

h.       Notis untuk EGM bertarikh 10 November 2010 dan 23 November 2010 telah dikeluarkan dan disampaikan kepada ahli-ahli melalui bantuan dari Majlis Peguam. Notis-notis tersebut adalah sah. EGM tersebut adalah juga sesuatu yang sah diadakan dan perkara ini diakui oleh pihak Plaintif di dalam hujahannya

 

i.         Semasa EGM tersebut usul-usul untuk memecat Plaintif dan Ahli Jawatankuasanya telah dibahaskan dengan sepenuhnya oleh ahli-ahli dan ianya telah diluluskan dengan undi majoriti. Keputusan serta resolusi yang dicapai melalui EGM yang sah tersebut adalah merupakan suatu keputusan yang sah dan yang mengikat.

 

j.         Lantas tuntutan oleh Plaintif di sini adalah sesuatu yang mengaibkan, remeh serta suatu penyalahgunaan proses Mahkamah.

 

[23]         Melihat kepada prinsip yang diputuskan melalui kes Bandar Builder Sdn Bhd v. United Malayan Banking Corporation [1993] 3 MLJ 36 (Supreme Court), “that the power of court to dismiss an action summarily is a drastic one and hence court will only strike out a claim in ‘plain an obvious’ cases where the claim is obviously unsustainable on the face of it”, prinsip kes tersebut adalah jelas terpakai di dalam situasi kes ini.

 

[24]         Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, saya dengan ini memutuskan bahawa permohonan Defendan-defendan di kandungan (10), (12) dan (14) diizinkan. Ketiga-tiganya diizinkan dengan kos.

 

Bertarikh pada 31 Januari 2011

 

(Y.A. DATO’ ABD. HALIM BIN AMAN)

Hakim

Mahkamah Tinggi

Johor Bahru, Johor

 

Print Friendly, PDF & Email

This content is restricted to site members. If you are an existing user, please log in. New users may register below.

Existing Users Log In
   
New User Registration
*Required field