Harta Pusaka

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA DALAM ISLAM

Apakah yang perlu dilakukan terhadap harta seorang yang beragama Islam apabila ia meninggal dunia?

Apabila seorang yang beragama Islam meninggal dunia, perkara-perkara yang perlu dilaksanakan mengikut keutamaan ialah:

  1. membayar segala pengurusan pengkebumian si mati dan kos-kos yang berkaitan dengannya;
  2. membayar hutang-hutang yang masih dimiliki oleh si mati (melainkan jika si pemiutang telah menghalalkan hutang itu);
  3. perlaksanaan wasiat yang telah dibuat oleh si mati (jika ada);
  4. pembahagian harta pusaka si mati kepada ahli warisnya yang berhak menurut perundangan Islam.

Apakah kebebasan seorang Muslim di dalam membuat wasiat ke atas hartanya?

Kebebasan seorang Muslim membuat wasiat adalah terhad kepada satu pertiga (1/3) daripada hartanya untuk penerima wasiat yang tidak tersenarai sebagai ahli waris yang berhak mewarisi harta pusaka. Ini bermakna sebanyak satu pertiga (1/3) sahaja daripada harta si mati yang akan dibahagikan mengikut kehendak wasiat.

Apakah kesan wasiat si mati jika ia bertentangan dengan had-had yang telah ditetapkan?

Wasiat si mati akan terbatal melainkan mendapat persetujuan daripada kesemua ahli waris si mati yang berhak mewarisi harta pusaka. Sekiranya wasiat itu diteruskan pihak yang tidak berpuashati boleh membawa kes ini ke Mahkamah Syariah.

Apakah yang berlaku kepada dua pertiga (2/3) daripada harta si mati yang tidak boleh diwasiatkan?

Dua pertiga (2/3) daripada harta si mati yang tidak boleh diwasiatkan akan menjadi harta pusaka pewaris (si mati) untuk dibahagikan kepada ahli warisnya yang berhak menurut system pembahagian harta pusaka Islam (faraid).

Bagaimanakah pembahagian harta si mati jika ia meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat?

Sekiranya seorang Muslim meninggal dunia tanpa wasiat, maka keseluruhan harta-harta si mati menjadi harta pusaka yang akan dibahagikan kepada ahli warisnya yang berhak mengikut perundangan Islam (faraid).

Apakah yang berlaku pada harta pusaka si mati jika ia tidak mempunyai ahli waris yang berhak mewarisi harta pusaka?

Sekiranya seorang Muslim meninggal dunia tanpa meninggalkan ahli waris, maka harta si mati itu akan disalurkan kepada Baitulmal sebagai warisan bagi kaum muslimin secara am.

Apakah yang berlaku jika masih terdapat bakian harta pusaka setelah pembahagian dilaksanakan kepada ahli waris yang berhak?

Bakian harta pusaka yang tidak diwarisi oleh ahli waris (setelah dibahagikan mengikut system faraid) akan diserahkan kepada Baitulmal yang bertindak sebagai pemegang amanah kepada umat Islam secara menyeluruh.

Siapakah ahli waris si mati yang berhak mewarisi harta pusaka?

Ahli waris si mati yang berhak mewarisi harta pusaka terdiri daripada dua kumpulan utama iaitu:

  1. Ashab al-furud: Ahli waris yang berhak mewarisi bahagian harta pusaka yang telah ditetapkan di dalam faraid Islam. Mereka terdiri daripada tiga kategori:
    1. Ahli waris utama yang berhak menerima bahagian harta pusaka yang telah ditetapkan walau apa juga keadaan dan tidak akan terdinding oleh ahli waris yang lain. Mereka adalah-
      • Suami
      • Isteri
      • Bapa kandung
      • Ibu kandung
      • Anak perempuan
    2. Ahli waris kedua yang berhak menerima bahagian harta pusaka yang telah ditetapkan sekiranya tiada pendindingan yang menghalang mereka daripada mewarisi harta pusaka. Mereka adalah-
      • Saudara perempuan seibu dan sebapa dengan si mati
      • Saudara perempuan sebapa dengan si mati
      • Saudara perempuan seibu dengan si mati
      • Saudara lelaki seibu dengan si mati
    3. Ahli waris gantian yang berhak menerima bahagian harta pusaka yang telah ditetapkan apabila ahli waris utama telah meninggal dunia sebelum si mati. Mereka adalah-
      • Datuk lelaki
      • Nenek
      • Cucu perempuan daripada anak lelaki
  2. Asobah: Ahli waris yang berhak mewarisi bakian harta pusaka si mati (residue).Oleh yang demikian, bahagian pewarisan harta pusaka tidak ditetapkan untuk mereka. Asobah terdiri daripada tiga kumpulan:
    1. Asabah bi nafsihi: Mereka terdiri daripada tiga kategori mengikut tertib dan prioriti-
      • Bunuwwah: iaitu anak lelaki si mati dan kesemua cucu cicit lelaki daripada anak lelaki si mati.
      • Ubuwwah: iaitu bapa si mati dan datuk moyang lelaki kepada ayah si mati.
      • Ukhuwwah: iaitu saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja atau seibu sahaja dengan si mati.
      • Umumah: iaitu bapa saudara sebelah bapa dengan si mati.
    2. Asobah bi ghairihi: Mereka terdiri daripada-
      • Anak perempuan si mati.
      • Cucu perempuan daripada anak lelaki si mati
      • Saudara perempuan seibu dan sebapa
      • Saudara perempuan sebapa
    3. Asobah ma a ghairihi: Mereka terdiri daripada-
      • Saudara perempuan seibu dan sebapa
      • Saudara perempuan sebapa

JADUAL PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KE ATAS ASHAB AL-FURUD

No Nama Waris Bahagian Keterangan bagi ahli waris yang berhak
1 Suami 1/2 – Jika si mati (isteri) tidak meninggalkan anak atau cucu
1/4 -Jika si mati (isteri) meninggalkan suami dan anak atau cucu
2 Isteri 1/4 -Jika si mati (suami) tidak meninggalkan anak atau cucu
1/8 -Jika si mati (suami) meninggalkan isteri dan anak atau cucu daripada anak lelaki
3 Bapa 1/6 -Jika si mati meninggalkan bapa, anak atau cucu lelaki.
1/6+ Asobah (asobah bi nafsihi) -Jika si mati meninggalkan bapa, anak atau cucu perempuan daripada anak lelaki. *Bapa akan mendapat bahagian 1/6 dan setelah harta dibahagikan,bapa akan mendapat bakian yang tinggal (jika ada)
Asobah (asobah bi nafsihi) -Jika si mati meninggalkan isteri/suami, ibu dan bapa sahaja.
Asobah (asobah bi nafsihi) Jika si mati meninggalkan bapa sahaja. (tiada waris lain)
4 Ibu 1/6 -Jika si mati meninggalkan ibu ,bapa, anak atau cucu daripada anak lelaki
1/6 -Jika si mati meninggalkan ibu dan lebih daripada dua orang saudara lelaki dan perempuan (seibu sebapa/sebapa/seibu)
1/3 -Jika si mati tidak mempunyai anak atau cucu daripada anak lelaki atau lebih daripada dua orang saudara lelaki dan perempuan (seibu sebapa/sebapa/seibu)
1/3 daripada baki pusaka (setelah ditolak bahagian isteri dan datuk jika ada) -Jika si mati meninggalkan isteri dan ibu sahaja, atauJika si mati (suami) meninggalkan isteri, ibu dan bapa.*Tetapi, jika bapa telah tiada dan terdapat datuk bersama dengan isteri atau suami si mati, ibu hanya mendapat 1/3 daripada harta pusaka.*Datuk si mati mendapat bakian harta yang tinggal.
1/3 daripada bakian harta pusaka (setelah ditolak bahagian suami dan bapa) -Jika si mati (isteri) hanya meninggalkan bapa ,ibu dan suami.
5 Anak perempuan 1/2 -Jika ia seorang (tiada waris lain)
2/3 -Jika lebih daripada 2 (tiada waris lain) * kadar 2/3 akan dibahagikan sesama mereka.
Asobah (asobah bi ghairihi) -Jika si mati meninggalkan anak perempuan dan lelaki.*Anak lelaki mendapat 2 bahagian dan anak perempuan mendapat 1 bahagian daripada bakian harta pusaka. *Bahagian setiap orang anak perempuan bersaman dengan bahagian setiap anak lelaki.
6 Datuk ( sebelah bapa) 1/6 – Jika si mati meninggalkan datuk, anak atau cucu daripada anak lelaki.
1/6+ Asobah (asobah bi nafsihi) -Jika si mati meninggalkan datuk, anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki dan tiada anak atau cucu lelaki
Asobah (asobah bi nafsihi) -Jika si mati meninggalkan datuk seorang atau -setelah ahli waris yang terdekat menerima kadar bahagian masing-masing.*Datuk mendapat bakian harta pusaka.
Terdinding -Dengan bapa si mati*Datuk tidak mendapat apa-apa.
7 Nenek 1/6 -Jika si mati meninggalkan nenek seorang (sebelah bapa atau ibu) *Jika ramai nenek, kadar 1/6 akan dibahagikan sesama mereka.
Terdinding -Dengan ibu si mati (sama ada nenek sebelah ibu atau sebelah bapa).-Bagi nenek sebelah bapa terdinding dengan bapa si mati tetapi nenek sebelah ibu tidak terdinding dengan bapa*Nenek tidak mendapat apa-apa.
8 Cucu perempuan (daripada anak lelaki) 1/2 -Jika ia seorang sahaja (tiada waris lain)
2/3 -Jika lebih daripada 2 orang *(tiada waris lain seperti anak lelaki,anak perempuan atau cucu lelaki daripada anak lelaki)
Asobah (asobah bi ghairihi) -Jika si mati meninggalkan cucu perempuan cucu dan cucu lelaki.*Cucu lelaki mendapat 2 bahagian dan cucu perempuan mendapat 1 bahagian daripada bakian harta pusaka. *Bahagian setiap orang cucu perempuan bersaman dengan bahagian setiap cucu lelaki.
1/6 -Jika si mati meninggalkan seorang anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki.*Anak perempuan mendapat dan cucu perempuan mendapat 1/6. *Tetapi jika ada cucu lelaki, cucu perempuan menjadi asobah.
Terdinding -Dengan 2 orang anak perempuan si mati.atau Dengan anak lelaki si mati.
9 Saudara perempuan dan lelaki (seibu) 1/6 – Jika ia seorang (tiada waris lain)
1/3 – Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)
Terdinding -Dengan anak atau cucu dari anak lelaki si mati atau,Dengan bapa atau,Dengan datuk
10 Saudara perempuan (seibu dan sebapa) 1/2 -Jika ia seorang (tiada waris lain)
2/3 -Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)
Asobah (asobah bi ghairihi) – Jika si mati meninggalkan saudara perempuan dan lelaki (seibu dan sebapa).
Asobah (asobah ma a ghairihi) -Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (seibu dan sebapa) dan anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.
Terdinding -Dengan anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki si mati, atau-Dengan bapa atau -Dengan datuk
11 Saudara perempuan (sebapa) 1/2 -Jika ia seorang (tiada waris lain)
2/3 -Jika lebih daripada 2 orang (tiada waris lain)
1/6 -Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (sebapa) dan seorang saudara perempuan (seibu dan sebapa),
Asobah (asobah bi ghairihi) – Jika si mati meninggalkan saudara perempuan dan saudara lelaki (sebapa).
Asobah (asobah ma a ghairihi) -Jika si mati meninggalkan saudara perempuan (sebapa) dan anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.
Terdinding -Dengan anak lelaki atau-Dengan cucu lelaki daripada anak lelaki atau-Dengan bapa atau-Dengan 2 orang saudara perempuan seibu dan sebapa si mati.,atau-Dengan saudara perempuan seibu dan sebapa si mati atau-Dengan saudara lelaki seibu dan sebapa si mati.

 

Copyright Johore Bar

Print Friendly, PDF & Email