Ahmad bin Kemin (25.4.1954 – 21.8.2015)

Bismillahir Rahmannir Rahim

Dengan izin Yang Arif

Pada pagi ini kita semua diberi peluang untuk berkumpul di dalam dewan Mahkamah Yang Mulia ini untuk suatu majlis memperingati rakan-rakan peguam yang telah pergi mendahului kita, bertemu dengan Penciptanya.

Pada hari ini saya telah diberi penghormatan untuk utk membacakan memoir rujukan khas buat Allahyarham Encik Ahmad bin Kemin.

Saya juga difahamkan wakil ahli keluarga Allahyarham juga hadir mengikuti memoir rujukan ini.

Allahyarham Encik Ahmad bin Kemin telah dilahirkan pada 25hb April 1954 di Batu Pahat, Johor.

Allahyarham bernikah dengan Puan Rahilah binti Anuar pada  14hb Disember 1982 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu :

  1. Mohd Fadzli bin Ahmad               32 tahun
  2. Nor Faizah binti Ahmad               29 tahun
  3. Mohd Faiz bin Ahmad                  27 tahun
  4. Nor Azlina binti Ahmad               20 tahun

Sebelum terlibat di dalam bidang guaman, Allahyarham adalah seorang kakitangan kerajaan iaitu bekerja sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam dan Eksais di Raja Malaysia. Sikap Allahyarham yang sentiasa bermotivasi dalam meningkatkan ilmu menyebabkan Allahyarham telah bulat tekad untuk menyambung pengajiannya di bidang undang-undang walaupun pada waktu itu umur Allahyarham sudah pun menjangkau ke usia 35 tahun dan sudah mempunyai kedudukan yang stabil di dalam kerjayanya.

Untuk itu, Allahyarham telah melanjutkan pengajiannya di bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dari tahun 1989 hingga 1993. Setelah berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kelas Kedua Atas, Allahyarham menyambung sebentar tugasnya di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja, Malaysia sehingga Allahyarham memilih untuk bersara awal pada usianya 40 tahun.

Dalam usianya sudah menjangkau 40 tahun, Allahyarham masih gigih lagi dan telah menjalani Latihan Dalam Kamar di Tetuan Abdullah & Zainudin Johor Bahru selama 9 bulan. Allahyarham telah diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 1hb April 1995.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Allahyarham kemudiannya terus melangkah dalam bidang guaman ini dengan bekerja sebagai Legal Assisstant di beberapa firma guaman di Johor Bahru antaranya Tetuan Zahari Wahab & Partners dan Tetuan Razif Abdul Aziz & Partners.

Selepas itu Allahyarham pernah menjadi rakan kongsi di beberapa firma guaman antaranya Tetuan Aziz & Mazlan, Tetuan Zain Megat Murad & Associates dan Tetuan Razif Abdul Aziz & Partners.

Pada tahun 2009, Allahyarham telah menubuhkan firma guamannya sendiri iaitu Tetuan Ahmad bin Kemin & Co sehingga firmanya ditutup pada Ogos 2013 yang mana selepas itu Allahyarham menjadi rakan kongsi di firma guaman Tetuan M N Nidzamudin & Associates, Johor Bahru sehingga Allahyarham dipanggil pergi oleh Penciptanya pada 21hb Ogos 2015.

Yang Arif,

Allahyarham meninggal pada pagi hening 21hb Ogos 2015 akibat serangan jantung. Pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh isteri, anak-anak dan ahli keluarganya sahaja malah turut dirasai oleh rakan-rakan peguam terutama rakan-rakan yang rapat dengan beliau.

Lebih dikenali sebagai Abang Mat di kalangan sahabat-sahabatnya, Allahyarham sewaktu hayatnya adalah seorang yang mempunyai kemurniaan akhlak yang melangit tinggi. Seorang yang sentiasa merendah diri dengan sifat tawadhuknya rendah membumi.  Walaupun kelihatan Allahyarham seperti seorang yang pendiam tetapi Allahyarham mudah didekati dan sentiasa disenangi.

Sekadar memetik kata-kata dari sahabat peguam yang agak rapat dengannya iaitu Encik Sukhaimi bin Mashud, I quote :

“Biodata Allahyarham mungkin tidak panjang. Tetapi peribadi beliau cukup mantap. Allahyarham tidak pernah bercakap perkara tidak baik tentang orang lain dan begitu juga sebaliknya, payah sekali untuk kita berjumpa orang bercakap perkara yang tidak baik tentang Allahyarham”.

Semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dengan mendapat keampunan tanpa syarat. Saya percaya Allahyarham akan sentiasa diingati oleh isteri, anak-anak dan ahli keluarganya serta tidak ketinggalan kita semua di kalangan para sahabat dan semua yang mengenali Allahyarham.

Bagi pihak Jawatankuasa Peguam Negeri Johor, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad bin Kemin.

Akhir sekali, saya memohon supaya nota prosiding ini disimpan di dalam arkib Mahkamah Tinggi dan satu salinan diserah kepada waris Allahyarham.

Terima kasih.

Hjh. Norfaizah binti Hj. Zainuddin

(Speech at a Reference Proceedings held at the High Court of Johor Bahru on 1/6/2016)

Print Friendly, PDF & Email